Friday, October 30, 2015

KULIAH DHUHA MUSLIMAT MASJID AN-NAIM



Salam Ma’al Hijrah kepada semua pembaca setia blog Darul Wardah Selangor. J

Alhamdulillah, bersempena dengan Sambutan Ma’al Hijrah pada tahun ini, Muslimat Masjid An-Naim Jalan Kebun dengan kerjasama Darul Wardah dan Angkatan Masyarakat Insani (AMANI) telah menganjurkan Kuliah Dhuha yang bertajuk “Hijrah Satu Perjuangan”.

Kami telah menjemput Penceramah Motivasi hebat, Mejar (B) Mohammad Qayyum bin A. Badaruddin yang juga merupakan seorang penulis buku bestseller. Antara buku karya beliau yang ditulis dari hati ialah 'Keagungan Cinta Murabbi Tuan Guru Nik Abdul Aziz' , Misteri MH370 dan juga buku-buku berkaitan Pemuda Syahid yang Tertangguh, Allahyarham Ahmad Ammar.





Mejar (B) Mohammad Qayyum telah mengupas secara lebih lanjut berkaitan perjalanan hijrah Rasulullah S.A.W dan para sahabat untuk memartabatkan agama Islam. Sememangkan perkongsian daripada beliau sarat dengan kata-kata motivasi yang menyentuh jiwa dan sampai ke dalam hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.



*Sedikit kata-kata aluan dan pengenalan daripada Ustazah Hazlina



  *Cenderahati yang disampaikan oleh Ustazah Hazlina kepada Mejar Qayyum



*Antara hadirin yang hadir



*Buku-buku karya Mejar Qayyum turut dibawa untuk dijual pada program ini


Friday, October 9, 2015

MODUL PENGISIAN DARUL WARDAH



Petang tadi ke bahagian Al Riqab, Mais untuk mengambil stok buku Indahnya Hidup Bersyariat dan Mantap Mengaji Kaedah Al Matien untuk kegunaan pelatih di Darul Wardah. Buku-buku ini diberikan percuma kepada semua pelatih di rumah perlindungan kelolaan badan Al Riqab Majlis Agama Islam Selangor. 

Selain daripada buku Indahnya Hidup Bersyariat dan Mantap Mengaji Kaedah Al Matien, kami juga menggunakan beberapa buku lain untuk dijadikan modul pembelajaran dan pengisian di Darul Wardah. 


Buku Ajarku Solat Panduan Solat Perempuan antara buku yang dijadikan modul utama untuk pelatih kami. Semua pelatih di Darul Wardah akan diberikan buku Panduan Solat ini untuk mereka menyemak semula bacaan dalam solat dan bacaan mereka akan di tasmid oleh Ustazah Hidayah pada setiap hari Rabu dan Khamis.



Setiap pelatih Darul Wardah akan diberikan kad rekod semakan bacaan atau kad biru Tasmid. Bacaan solat, doa pilihan dan surah pilihan hafazan perlu disemak dan mesti mendapat kelulusan daripada guru tasmid sebelum mereka keluar daripada Darul Wardah. Bukan sekadar semakan bacaan sahaja, praktikal dan amali juga akan dilakukan bagi memastikan pelatih betul-betul faham dan dapat melakukan ibadah dengan lebih sempurna. Malah pada setiap bulan guru-guru Darul Wardah akan mengadakan ujian bulanan untuk melihat perkembangan pelatih dari segi akademik.



Karya Dr. Rokiah Ahmad ini juga kami jadikan modul pengisian di Darul Wardah. Buku ini mengupas mengenai betapa pentingnya seorang wanita menjaga aurat daripada pandangan bukan mahramnya, menyentuh bab hukum dan dalil selain daripada sebab wajib menutup aurat, jaminan Allah terhadap mereka yang menjaga auratnya dan janji Allah bagi mereka yang ingkar dan mendedahkan aurat kepada yang bukan berhak. Ulasan dan pengisian disampaikan sendiri oleh Ustazah Hazlina. 




Terapi Diri 30 Hari Mencari Cinta, hasil karya Ustazah Hazlina ini adalah modul khas untuk bulan Ramadan. Ia juga adalah buku senarai semak amalan pada setiap hari di bulan Ramadan untuk setiap pelatih, disertakan dengan doa amalan harian yang dipetik daripada kalam Allah al-Quran dan pelbagai tips untuk menjalani ibadah puasa dalam erti kata yang sebenar. Setiap pelatih akan menulis ibadah yang dilakukan pada setiap hari di buku ini dan akan disemak oleh Ustazah Hazlina. Di penghujung Ramadan pelatih akan melihat sendiri amalan dan usaha mereka dalam beribadat di sepanjang bulan. 



Bukan sekadar buku-buku dan kitab ilmiah sahaja yang akan diberikan kepada setiap pelatih, buku dan nota jahitan pun mereka akan dapat di Darul Wardah. Kelas jahitan, kraftangan malah kelas memasak yang diadakan adalah bertujuan untuk menyeimbangi keperluan untuk melahirkan muslimah yang sejati.  




Semoga anak-anak didik kami dapat mempraktikan ilmu dan amalan selama tinggal di Darul Wardah untuk dijadikan panduan apabila kembali kepada realiti kehidupan sebenar di luar sana nanti. Kami hanya mampu berusaha untuk memberikan yang terbaik buat mereka dan sebaik-baik pelindung itu adalah Allah yang Maha Esa. Amin Ya Rabb










Thursday, October 8, 2015

ONE FOR ALL... ALL FOR ONE


Dalam setiap kali sesi lawatan atau kunjungan ziarah yang diadakan, ramai yang bertanya bagaimana kehidupan para penghuni di Darul Wardah?

Ada yang bergaduh tak?
Ada yang buat hal tak?
Ada yang memberontak tak?
Ramai yang keluar berubah ke?

Kami hanya mampu tersenyum. J

Bagaimanapun, berubah menjadi lebih baik adalah harapan setiap insan. Walau sering mengingkari suruhan Allah dan mendekati larangan-Nya tetapi kita tetap akan ‘berjanji’ pada diri sendiri.

“Nanti aku nak berubah juga”.

Aku akan lebih taat dalam beribadah, aku akan lebih baik terhadap sesama makhluk Tuhan, aku akan lebih bersabar, aku akan lebih bersyukur dan banyak lagi. Kadang-kadang janji tersebut terungkap di dalam hati ketika kita sedang menghitung perkara maksiat yang telah dilakukan.

Mereka juga manusia biasa, tetapi yang masuk ke Darul Wardah ini daripada latar belakang yang berbeza-beza. Ada yang kaya, ada kehidupannya serba kekurangan... ada yang berpelajaran, ada yang tidak.. ada yang pandai mengaji dan ada yang baru mahu mengenal alif ba ta. Umur juga berbagai peringkat. Sedangkan kembar pun boleh bergaduh, inikan pula mereka yang asalnya dari berlainan negeri dan cara hidup. Semua itu pasti menjadi antara asbab wujudnya sifat nafsi-nafsi ketika mereka baru menjadi ahli baru Darul Wardah.

Kami di sini cuba membantu mereka untuk menyesuaikan diri sebaik mungkin. Mereka tetap saudara Muslim dan tambahan pula mempunyai masalah serta kes yang sama.

“ONE FOR ALL, ALL FOR ONE”

Ini yang cuba kami terapkan. Semuanya perlu mereka lakukan bersama, tiada yang berkecuali. Yang tidak tahu perlu dibantu oleh mereka yang tahu. 


*Makan dalam talam, hidupkan sunnah Rasulullah

Seperti makan dalam talam.
Pada awalnya, pelbagai rungutan yang timbul.

“Tak biasa la makan dalam talam ni kak.. L
“Eeee... tak nak la..geli laa” L

Tapi akhirnya perkara yang tidak biasa menjadi kebiasaan, perkara yang tidak suka menjadi kesukaan. Yang penting hubungan mereka semakin erat. Mereka kini tahu setiap apa yang dilakukan perlu bersama, tiada yang berkecuali sepertimana ketika makan di dalam pinggan masing-masing dahulu. Yang penting menjimatkan masa, lebih berselera dan enak rupanya. J





Selain itu, kami perlu memastikan mereka berjaya khatam 30 juzuk al-Quran sebelum menamatkan tempoh di Darul Wardah. Mereka juga diberi surah-surah pilihan untuk dihafal dari semasa ke semasa.

Alhamdulillah, masing-masing berusaha sebaik mungkin untuk khatam dan menghafal al-Quran. Yang tahu membaca al-Quran membantu yang baru mengenal alif ba ta untuk membaca kalam Allah ini. Tiada yang mustahil sekiranya ada keinginan dalam diri masing-masing.


*Aktiviti harian.. membaca dan menghayati  firman Allah S.W.T.


Masalah akan tetap ada dan kita pasti akan rasa terbeban sekiranya sering memikirkannya. Tetapi tiada yang mustahil bagi Allah sekiranya kita meminta pertolongan daripada-Nya dengan penuh pengharapan. Kami di Darul Wardah hanya pemudah cara dan asbab yang di hantar oleh Allah untuk membantu mereka kembali mendekati-Nya, namun usaha selebihnya untuk mereka lebih mengenal Allah adalah melalui kesungguhan dan usaha dari diri mereka sendiri.

Jika mahu pasti mampu..
Jika perlu, mesti berusaha untuk dirimu..

ANDA ADA MASALAH????

Mahu menangis?
Kepada Allah sahaja..

Mahu meluahkan?
Kepada Allah dahulu..

Mahu minta tolong?
Kepada Allah selalu..

Jika tidak ada bahu tempat untuk kita bersandar, jangan putus asa.
Masih ada lantai untuk kita bersujud pada-Nya. J

Jadikan masalah sebagai batu loncatan untuk kita makin mara ke hadapan..bukan batu yang membuatkan kita tersadung rebah kecundang.

Abu Al-Darda' berkata, "Perbanyakkan doa. Makin banyak mengetuk, kita mungkin dibuka pintunya".

Buat pembaca budiman...Doakan moga hati-hati yang kering mampu disiram dengan cahaya iman, hati-hati yang gelap pula mampu disuluh dengan nur al-Quran.

Wallahu’alam.

RAKAMAN PROGRAM “PELUANG KEDUA” HYPPTV SALURAN 420


7 Oktober 2015, Darul Wardah telah menerima kunjungan dari HyppTV (TM) yang mahu melakukan penggambaran di Darul Wardah bagi satu program mereka yang bertajuk “Peluang Kedua”.

Hampir satu hari suntuk rakaman tersebut dilakukan di sekitar kawasan Darul Wardah tanpa mengganggu aktiviti harian para pelatih kami. InsyaAllah, rancangan tersebut akan disiarkan di saluran HyppTV 420 dalam masa yang terdekat.



*Persiapan sebelum memulakan penggambaran


*Rakaman di dalam kelas.. modul yang dikendalikan oleh Ustazah Hazlina


*Kelas Terapi Spiritual Qurani oleh Ustaz Zawawi diadakan seperti biasa


*Antara anak-anak pelatih Darul Wardah tidak menghalang sesi pembelajaran... Alhamdulillah, mereka pun turut sama belajar  J



*Sesi temubual bersama Ustaz Zawawi dan Ustazah Hazlina... 


*Perkongsian ringkas dari Ustazah Hazlina selaku pengasas Darul Wardah kepada semua krew yang datang ke Darul Wardah


*Sesi temubual bersama salah seorang pelatih Darul Wardah


Semoga kita mampu menjadikan masalah sebagai batu loncatan untuk kita makin mara ke hadapan... bukan batu yang membuatkan kita tersadung rebah kecundang.

Masih belum terlambat untuk berubah dan semua orang berhak untuk diberi peluang kedua.
Semoga program yang bakal disiarkan nanti bermanfaat buat semua.

Nantikan. J







Monday, October 5, 2015

TAUSIYATUL KUBRA SIRI KE-4

“MUSIBAH... AYAT-AYAT ALLAH”


Alhamdulillah, pada 3 Pktober 2015, Tausiyatul Kubra Darul Wardah buat kali ke-4 telah selesai berlangsung. Pada kali ini, kami telah menjemput Ustazah Shadiya Abbas yang merupakan seorang personaliti TV9 dalam program Tanyalah Ustazah. Ustazah Shadiya juga merupakan anak didik kepada pengasas Darul Wardah iaitu Ustazah Hazlina.

*”Musibah.. Ayat-Ayat Allah” yang disampaikan oleh Ustazah Shadiya

Ustazah Shadiya telah mengupas secara detail berkaitan musibah berlandaskan ayat-ayat yang terkandung di dalam al-Quran. Sesungguhnya terdapat 27 ayat al-Quran yang menceritakan tentang musibah. Tajuk pada kali ini dilihat amat bertepatan dengan isu semasa yang berlaku dan juga amat sinonim dengan nasib yang menimpa para pelatih di Darul Wardah.

Kata Ustazah Shadiya, “Musibah yang Allah bagi bukan bermaksud Allah benci. Kita dihidupkan hari ini bukan untuk meneruskan dosa pada hari esok. Tanda Allah sayang dan prihatin, apabila kita musibah itu mendekatkan kita kepada-Nya”.

Para pelatih juga tidak ketinggalan untuk bertanya secara langsung kepada Ustazah Shadiya persoalan-persoalan yang bermain di minda mereka.

Selain dari Tausiyatul Kubra, pihak Darul Wardah turut menganjurkan majlis tahnik dan bercukur. Hidangan yang disediakan pada kali ini dimasak sendiri oleh Ustazah Hazlina bersama warga Darul Wardah.


*Rempah ratus yang dibawa khas dari Terengganu bak kata ustazah J


 
*Daging korban...tunggu masa untuk masak je.. resepi Ustazah Hazlina sendiri..


Lebih 10 orang bayi ditahnik pada kali ini melibatkan kesemua anak pelatih Darul Wardah dan anak-anak pelarian Muslim dari Etnik Ughyur yang mendapat perlindungan sementara di bawah Darul Wardah. Mereka merupakan migrasi dari wilayah Xin Jiang demi menyelamatkan iman, nyawa, maruah dan keluarga.



*Ustazah Hazlina sedang melakukan tahnik dan bercukur kepada salah seorang anak pelatih Darul Wardah


*Ustazah Shadiya turut berkongsi kegembiraan bersama warga Darul Wardah


*Ustazah Shadiya mentahnik salah sorang bayi etnik Ughyur


  
*Ibu-ibu etnik Ughyur ini diraikan dalam majlis Tahnik yang diadakan di Darul Wardah. Mereka pelik melihat betapa wanita Malaysia bebas beraktiviti. Mereka juga memerlukan bantuan kita.


*Cenderahati buat tetamu yang hadir.. simple but sweet J


  
*Ustazah Hazlina turut menyampaikan tausiyah kepada semua warga Darul Wardah dan Bacaan doa menutup oleh Ustazah Shadiya


* Para pelatih Darul Wardah bergambar kenangann bersama Ustazah Shadiya.. siap minta autograf lagi.. J


*Bergambar kenangan bersama sebahagian tetamu yang hadir


*Selesai makan tengahari, solat Zohor berjemaah diimamkan oleh suami Ustazah Shadiya, Ustaz Khairul Azman.


Terima kasih kepada semua tetamu yang hadir memeriahkan majlis yang dianjurkan oleh pihak kami. insyaAllah, moga berjumpa pula pada program Tausiyatul Kubra yang seterusnya.

Moga Allah rahmati dan redhai kita semua J









Wednesday, September 30, 2015

MAKLUMAN : PENGANGKATAN BAYI DI DARUL WARDAH


Kami dihujani dengan pelbagai pertanyaan dan permohonan di email, whatsup, panggilan telefon, inbox di facebook, sms dan sebagainya untuk prosedur pengangkatan bayi di Darul Wardah. Sepertimana yang telah kami tekankan dalam syarat kemasukan pelatih, bayi yang dilahirkan di Darul Wardah adalah milik sepenuhnya ibu, keluarga dan waris pelatih kami. Perlu ditekankan juga bahawa Darul Wardah tidak sama sekali mempunyai apa-apa kepentingan atau hak terhadap anak-anak yang dilahirkan ini.

Kami memberi perlindungan kepada pelatih dan bayinya sehingga satu tempoh yang kami dan keluarga pelatih yakin mereka boleh berdikari sendiri dengan akidah yang kuat, akhlak yang mulia, sahsiah yang terpuji dan bekalan ilmu yang mantap di samping sokongan dan bimbingan daripada keluarga. Seandainya keluarga dan waris pelatih ingin membuat pengangkatan untuk bayi yang dilahirkan, urusan tersebut perlu diuruskan sepenuhnya oleh keluarga dan waris pelatih sendiri tanpa penglibatan Darul Wardah. Tujuan sebenarnya adalah untuk menggalakkan pelatih atau keluarga dan waris memelihara dan mendidik bayi itu sendiri.

Anak-anak yang dilahirkan ini berhak untuk mendapat kasih sayang dan belaian manja ibu kandungnya sendiri, berhak berada dalam kalangan saudara-mara sedarah sedagingnya dan berhak mendapat perlindungan daripada warisnya yang sah. Namun, kami juga tidak menafikan yang ada di kalangan anak-anak ini lebih baik berada atau diserahkan kepada keluarga angkat disebabkan beberapa sebab tertentu. Oleh kerana itulah, urusan pengangkatan diserahkan sepenuhnya kepada ibu dan keluarga atau waris si bayi bagi mengelakkan sebarang masalah yang timbul pada masa hadapan dan kami sekadar memberi nasihat dan pandangan untuk urusan dan prosedur pengangkatan sahaja.

Kami amat memahami ramai pasangan di luar sana yang terlalu menginginkan anak dan ikhtiar terakhir adalah dengan mengambil anak angkat. Namun, kami tidak dapat menjanjikan apa-apa untuk sebarang permohonan anak angkat daripada Darul Wardah. Kami mengharapkan iringan doa daripada semua pembaca blog kami untuk kesejahteraan anak-anak ini dan diberikan kekuatan kepada pelatih kami untuk meneruskan kehidupan yang serba mencabar di luar sana. Semoga mereka mendapat sinar kebahagian dan dapat menjalani kehidupan yang lebih baik apabila keluar daripada Darul Wardah.

 Maka disini kami tekankan sekali lagi bahawa DARUL WARDAH :-

  1. TIDAK mengendalikan hal-hal berkaitan pengangkatan untuk anak-anak yang dilahirkan oleh pelatih;
  2. Bayi adalah hak mutlak ibu kandungnya, keluarga dan waris kepada bayi;
  3. Sebarang keputusan mengenai bayi yang dilahirkan di Darul Wardah akan diserahkan sepenuhnya kepada ibu, keluarga dan waris pelatih sahaja;
  4. Darul Wardah hanya memberi perlindungan dan modul pemulihan akidah, akhlak, sahsiah, tarbiyah, bimbingan dan kaunseling kepada pelatih yang berada di Darul Wardah;
  5. Sekiranya ibu bayi, keluarga atau waris bersetuju untuk membuat pengangkatan, urusan tersebut akan diuruskan oleh keluarga dan waris sendiri dan urusan pengangkatan dibuat setelah pelatih menamatkan tempoh pemulihannya di Darul Wardah;
  6. Darul Wardah tidak akan sama sekali memberi maklumat mengenai ibu bayi, keluarga atau waris yang ingin membuat pengangkatan kepada pihak luar; dan
  7. Darul Wardah BUKAN pusat untuk mendapatkan anak angkat.





PROGRAM MOTIVASI JATI DIRI REMAJA: AKU TERUNA TERHEBAT (ATT)


Selain dari program Bahagia Menjadi Gadis (BMG), kami di Darul Wardah juga merasa terpanggil untuk menjalankan satu program pendidikan khusus kepada remaja-remaja lelaki sebagai satu langkah menangani masalah sosial. Kebejatan akhlak dan keruntuhan nilai remaja sekarang benar-benar berada di tahap yang membimbangkan.






Melihatkan masalah sosial terutamanya ketagihan dan gangsterisme melibatkan kebanyakannya remaja lelaki, kami telah merangka satu Program Motivasi Jatidiri Remaja: Aku Teruna Terhebat (ATT). Program yang bertunjangkan kepada nilai-nilai agama diharapkan dapat membentengi diri remaja-remaja dari terjebak ke kancah kemungkaran. Kami amat berharap program ini akan mendapat dokongan dan sokongan padu dari semua pihak dalam usaha membentuk remaja-remaja yang bersahsiah, berketrampilan dan berperanan dalam membangunkan agama, bangsa dan negara.

Keadaan remaja lelaki yang semakin meruncing ini memerlukan tindakan yang amat segera. Ia sebenarnya tidak mencukupi dengan hanya mendengar harapan dan doa dari pelbagai pihak, sebaliknya, kita perlu mengembleng tenaga untuk memastikan apa yang diharapkan berubah menjadi kenyataan. Kerjasama dan perhatian dari semua pihak amat diharapkan untuk memastikan agenda membangun rakyat khasnya generasi pewaris dan golongan belia akan tercapai. 





OBJEKTIF

  1. Memahami tentang pendidikan seksual mengikut perspektif Islam.
  2. Mengetahui cara-cara menangani pergaulan dan fenomena perlakuan  tidak sihat.
  3. Memahami dan mempraktikkan sikap asertif dalam situasi tertentu.
  4. Melindungi diri dari terjebak dengan perkara-perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam .

Program ini akan dikendalikan sepenuhnya oleh Ustaz Mohd Zawawi Hj Mughni. Dalam program ini, hal-hal berkaitan dengan lelaki akan diberi keterangan khusus dan lebih mendalam, memberi penekanan kepada peranan seorang lelaki sebagai pemimpin kepada negara, masyarakat, keluarga, isteri dan anak-anak serta memberi kesedaran kepada remaja lelaki untuk menjadi pelindung kepada kaum wanita dan sekali gus dapat mencegah atau mengelakkan gejala zina yang semakin berleluasa kini. 

Seandainya berminat untuk bekerjasama dengan pihak kami, anda boleh menghubungi:

Puan Hidayah : 019-3636 394
Pihak Pengurusan : 03-5166 1273


PROGRAM PENCEGAHAN ZINA - BAHAGIA MENJADI GADIS (BMG)


KEMPEN KESEDARAN BAHAYA ZINA


Menyedari dan menginsafi fenomena kebejatan akhlak dan keruntuhan nilai remaja sekarang benar-benar berada di tahap yang membimbangkan maka kami dari Pertubuhan Kebajikan Darul Wardah Selangor merasa terpanggil untuk menjalankan satu program pendidikan khusus kepada remaja-remaja perempuan sebagai satu langkah menangani masalah-masalah sosial yang semakin membarah.

Sebagai sebuah NGO yang berteraskan dakwah dan tarbiyah, kami berpendapat usaha-usaha pencegahan dapat dilakukan melalui siri-siri pendedahan dan pendidikan yang berterusan. Kami prihatin terhadap masa depan remaja-remaja yang akan menjadi pewaris kepada pembangunan negara pada masa akan datang.

Bimbingan dan tunjuk ajar secara ikhlas dan berterusan amat perlu dititik beratkan kepada remaja agar mereka akan menjadi warga yang berguna kepada agama, bangsa dan negara kelak. Melihatkan masalah sosial terutamanya seks bebas melibatkan kebanyakannya remaja –remaja perempuan, kami telah merangka satu program jati diri remaja iaitu ’Bahagia Menjadi Gadis(BMG)’.




Program yang bertunjangkan kepada nilai-nilai agama diharapkan dapat membenteng diri remaja dari terjebak ke kancah kemungkaran. Kami amat berharap program ini akan mendapat dokongan dan sokongan padu dari pelbagai pihak yang mahu bersama kami menangani masalah yang kian meruncing ini.

Bayangkan kajian kes yang dipapar bermula sekitar awal 80-an dan 90-an telah menunjukkan angka yang amat menakutkan kita semua. Betapa tenatlah lagi keadaannya sehingga ke alaf baru ini yang melaungkan slogan “langit terbuka”.

Justeru team Darul Wardah telah mengadakan jelajah Bahagia Menjadi Gadis (BMG) di sekolah-sekolah, institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, kepada ibu bapa dan banyak lagi.


OBJEKTIF PROGRAM
  1. Memahami tentang pendidikan seksual mengikut perspektif Islam.
  2. Mengetahui cara-cara menangani pergaulan dan fenomena perlakuan seks bebas.
  3. Memahami dan mempraktikkan sikap asertif dalam situasi tertentu.
  4. Melindungi diri dari terjebak dengan perkara-perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Antara pengisian yang terdapat dalam program BAHAGIA MENJADI GADIS (BMG) adalah : 

  1. Pengenalan kepada peserta mengenai air mani, mazi dan wadi;
  2. Pendedahan mengenai bahaya zina dan kemahiran arsertif  menjauhkan diri dari bahaya zina;
  3. Tayangan video dan perkongsian pengalaman daripada penghuni Darul Wardah;
  4. Terapi solat;
  5. Terapi penggunaan air sebagai al shifa'. 
  6. Terapi asma al husna. 



 * Tayangan video 

* Pengenalan BMG 

* Kemahiran arsertif dalam bentuk berkumpulan 



* Terapi kekuatan asma al husna 



* Terapi Solat 


* Perkongsian pengalaman daripada pelatih Darul Wardah



* Program Parenting yang disampaikan oleh Ustaz Zawawi dan Ustazah Hazlina di Darul Wardah 


Sekiranya berminat untuk bekerjasama dengan kami dalam menangani dan memberi kesedaran bahaya zina kepada masyarakat dan anak remaja, anda boleh menghubungi :

Puan Hidayah : 019-3636 392 
Ustazah Hazlina : 019-2774 175
Pihak pengurusan : 03-5166 1273




LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...