Thursday, August 2, 2012

DIARI RAMADHAN KAMI~

Assalamualaikum, Ramadhan Kareem.. ^^

Alhamdulillah, berkesempatan meng'update blog pada malam ini.

Alhamdulillah..alhamdulillah, KITA SEMUA dipanjangkan usia, dan diberi nikmat kesihatan yang baik untuk berada di bulan yang penuh keberkatan; Ramadhan pada tahun ini.

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah..syukur, adik-adik penghuni di sini, turut ternanti-nanti kedatangan bulan mulia ini walau pada awalnya, ada yang gelisah, bimbang seandainya tidak mampu berpuasa dalam keadaan yang sarat.

Jika tahun-tahun sebelum ini, ada yang langsung tidak berpuasa, ada yang culas-culas buat [tapi tidak semua mereka], maka pada kali ini mereka kembali menunaikan kewajipan yang termasuk dalam rukun Islam berlima itu. Malah, di sini juga mereka berpeluang untuk semakin memahami keperluan pematuhan ke atas suruhan ALLAH Taala, dan semakin merasai kenikmatannya untuk jasad, emosi dan juga roh.

TADARUS AL QURAN





"alhamdulillah, seronok rasa puasa tahun ni.." kata adik A.

"walau penat, kak..tapi alhamdulillah saya dapat bertadarus pada Ramadhan ni, sebelum-sebelum ni, saya tak pernah bertadarus. Tadarus pun saya tak tahu apa dia..", kata adik B sambil tersenyum.



Jadi pada tahun ini, inshallah kami berazam untuk 1 kali khatam al quran.  Pada tahun-tahun sebelum ini, kami mampu khatam al quran sebanyak 2 kali, kerana adik-adik pada waktu itu, ramai yang boleh mengaji dengan lancar. Namun, memandangkan pada Ramadhan ini, ramai adik-adik yang masih di tahap 'merangkak-rangkak' dan iqra', maka cukuplah andai kami berjaya khatam untuk sekali sahaja. Itu sudah cukup memuaskan hati kami [kakak mereka], kerana mereka mahu dan mula belajar, serta mula rasa nikmat bertadarus itu di sini. Alhamdulillah..

Rutin harian kami, sebaik habis solat subuh berjamaah dan al mathurat, kami akan mula bertadarus menghabiskan beberapa helai muka surat, kemudian menyambungnya semula selepas solat sunat dhuha, dan zohor dan asar. Di kesempatan waktu yang ada, mereka juga akan menyambung bacaan al quran 'personal' mereka. Yang masih di tahap iqra', kami pesan; mulakan bacaan muqaddam. Alhamdulillah, tidak perlu kami peringatkan selalu kerana kesedaran mereka lah yang menggerakkan kemahuan mereka.


TAZKIRAH RAMADHAN




Untuk bulan Ramadhan ini, jadual tazkirah kami telah ditukar waktu ke waktu pagi jam 11.30 setiap hari. Ini berbeza dari bulan-bulan lain kerana tazkirah kami adalah pada waktu malam antara maghrib-isyak.

Alhamdulillah, ramai teman-teman yang datang ke mari untuk mengisi jadual Tazkirah Ramadhan dan Imam Terawih. Atas semangat FASTABIQUL KHAIRAT [berlumba-lumba dalam membuat kebaikan], kedatangan untuk berkongsi ilmu dengan adik-adik yang mahu mencapai darjat SOLEHAH ini amat kami hargai. Jazakumullahu khairan kathira.. ALLAH Taala lah sebaik-baik Pemberi Ganjaran.

Dalam hari-hari tanpa 'Pentazkirah' Jemputan, adik-adik akan bergilir-gilir menyampaikan tazkirah mereka, berdasarkan tajuk-tajuk yang telah disusun. Ini sebagai satu medan latihan buat mereka selepas keluar nanti, agar tidak segan dan tidak malu untuk berkongsi ilmu dan kebaikan dengan orang-orang sekeliling. Inshallah..


BERTERAWIH

Kadang-kadang hadir juga rasa rindu di hati ini untuk berterawih di masjid. Namun, untuk kami di sini; Darul Wardah lah 'masjid' kami. Selain imam/ah jemputan, terawih adik-adik juga berimamkan kakak-kakak mereka. Jika kakak-kakak keletihan kerana urusan yang padat pada sebelah siangnya, maka giliran imam diberikan kepada adik-adik yang jelas, dan lancar bacaannya. Di sini lah, medan untuk mereka melatih diri untuk menjadi seorang imamah. Pesan kami, "inshallah, rebutlah peluang untuk menjadi imam, mudahan selepas kita semua punya keluarga, dan punya anak-anak nanti, kita mampu menjadi imam buat anak-anak kita seandainya bapanya tiada di rumah."
Benar, madrasah ibu adalah madrasah pertama buat anak-anak. Maka, harusnya kita mempersiapkan diri untuk menjadi ibu yang terbaik buat mereka dengan harapan, anak-anak membesar menjadi anak yang soleh dan solehah. Inshallah.



QIYAMULLAIL

Kadang-kala, riak letih jelas ketara pada wajah mereka. Jika begitu, selalunya kami akan memujuk dan menaikkan semangat mereka.
"adik-adik, awak semua tahu tak, sebenarnya, ramai orang kat luar sana yang cemburu dengan kita di sini. Kat sini, kita akan qiam tiap-tiap pagi sepanjang Ramadhan ni. Mereka di luar sana, ada yang tak mampu untuk buat apa yang kita buat.."

"adik-adik, ambil lah peluang yang ada ni, rebutlah masa ni untuk buat amal sebanyak mungkin, kerana kita tak tahu lagi, lepas kita keluar nanti, kita punya peluang yang sebegini.."

"inshallah, banyakkan doa kepada ALLAH Taala, kerana doa pada bulan Ramadhan ini tiada hijab. Maka ia akan sampai terus kepada DIA. Minta la apa pun..minta la.. ALLAH Taala tu Maha Pendengar".

Maka, mendengar esakan tangis mereka setiap kali bertahajud dan ketika doa, adalah perkara biasa. Pada diri masing-masing, ada cerita dan kisah tersendiri. Yang lara, dan sedih itu, dan harapan-harapan itu, diadukan kepada ALLAH Taala. Hati manusia, sekeras-keras mana pun ia, jika kembali kepada ALLAH, inshallah.. biiznillah, lembut lah nanti.

Selalu juga, kami berqiyamullail di porch dengan beratapkan langit, dan berlantaikan simen. Kadang kala, diganggu oleh nyamuk-nyamuk nakal, tapi itu tidak menjadi halangan buat mereka. Malah, adik-adik ini berasa cukup seronok kerana dapat menghirup udara segar di pagi hari, melihat indahnya bulan dan alam sekeliling yang mampu membangkitkan lagi rasa berTuhan itu.

DOA

Ini lah sedikit coretan buat kali ini. Rindu mahu menulis, maka digagahkan juga diri untuk berkongsi. Jam sudah 1.29 pagi ketika ini, inilah ruang masa yang ada kerana waktu siangnya sungguh tidak sempat kerana banyak urusan yang harus diselesaikan.

Teman-teman, doakan kami di sini ya. Doakan agar kami diberi kekuatan dan kebijaksanaan untuk menempuh ujian dari DIA. Moga-moga kami istiqamah dengan amalan kebaikan ini. Doakan juga, kami [kakak-kakak mereka] diberi kekuatan untuk membimbing insan-insan yang mahu kembali mencari Tuhan. Inshallah, kita saling doa mendoakan.

mijaazmiza; moga, ALLAH Taala bangunkan diri ini, dan kita semua untuk bertahajud pagi nanti. ameen.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...