Wednesday, November 3, 2010

KELAS FARDHU 'AIN DAN MENGAJI BERSAMA USTAZ RAUF ABDULLAH DI DARUL WARDAH

Alhamdulillah, setinggi-tinggi tahmid dan syukur kepada Rabbul 'Izzati kerana limpah rahmat dan inayahnya, Darul Wardah masih istiqomah berbakti di jalan Nya. InsyaAllah.

Semalam, Selasa bersamaan 3 November 2010, Ustaz Raof Abdullah berkesempatan untuk mengadakan kelas fardhu 'ain dan Qur'an kepada para penghuni Darul Wardah, dan juga mualaf setempat bertempat di Darul Wardah.

Kelas dimulakan dengan solat maghrib berjemaah dan sejurus selepas itu, Ustaz Raof memulakan kelasnya.




Sebagai pembuka kelas, Ustaz selesa untuk bertaaruf dengan penghuni bagi memudahkan penyampaian mesejnya. Untuk permulaan, ustaz menggalakkan penghuni untuk meleraikan ikatan yang menghambat seseorang daripada menerima ilmu iaitu memperbetulkan niat kerana sebuah hadith yang mafhumnya menasihatkan...

"innamal a'mal bil niyyat" (sesungguhnya setiap amalan itu berdasarkan niat).

Ustaz menyarankan agar semua yang mengikuti majlis ilmu ini mengikhlaskan diri agar ilmu yang disampaikan lekat diminda, diyakini dengan hati dan diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Itulah tujuan akhir yang ingin dicapai bersama melalui kelas aqidah dan qur'an ini.



Sebelum menyentuh bab aqidah secara mendalam, ustaz dengan laras bahasa yang mudah difahami menerangkan keperluan iman di dalam diri setiap individu. Ustaz dengan panjang lebar berbicara tentang kepentingan iman, aqidah kepada orang Islam kerana ia merupakan asas kepada tujuan hidup iaitu mengabdikan diri kepada Rabb. (Wa ma khalaq tul jinn wal ins a illa liya'budun)

Iman menjadikan kehidupan seseorang itu sentiasa berpaksikan kepada mencapai keredhoan Allah di dunia dan akhirat. Apabila seseorang kuat iman dan taqwanya kepada Yang Maha Agung, maka secara tidak langsung, rohaninya kuat. Dan apabila rohani seseorang itu kuat, maka ia tidak mudah dikalahkan oleh syaitan, dan ditundukkan oleh hawa nafsu yang sentiasa mengajak kepada kemungkaran.

Kepercayaan kepada kalimah tawhid, "La Ilahaillallah wa muhammadan rasulullah" sentiasa memperingatkan kita kepada keEsaan Allah yang tiada sekutu bagiNya dan Nabi Muhammad s.a.w sebagai perutusan Allah kepada manusia untuk menjalani kehidupan sebagai hamba dan khalifah di bumi Allah ini selaras dengan kehendakNya iaitu patuh kepada syariat dan menjauhi laranganNya.

Kesimpulannya, ustaz memulakan kelas aqidahnya dengan meminta penghuni supaya ikhlas dalam menimba ilmu fardhu ain selain menanam asas aqidah iaitu keimanan supaya penghuni jelas tujuan manusia diciptakan dan kenapa kita beragama Islam. Ini selaras dengan sebuah pernyataan yang menyatakan, "seseorang itu tidak akan kenal akan dirinya, selagi mana dia tidak mengenal TuhanNya". Wallahu'alam.


<
P/S: KELAS USTAZ RAOF akan diadakan pada setiap hari SELASA dan RABU setiap minggu dimulai dengan solat maghrib berjemaah. Kelas diselang-selikan dengan kelas fardhu 'ain dan belajar mengaji. Semua dijemput hadir untuk memeriahkan lagi majlis ilmu ini. Semoga kelas ini diberkati oleh Nya. InsyaAllah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...