Friday, July 10, 2009

Kaedah didik, cegah tangani kes buang bayi




Kes empat bayi berusia tujuh bulan hingga satu tahun yang berjaya diselamatkan sebelum dijual kepada beberapa keluarga yang memerlukan anak angkat menunjukkan kesungguhan polis menumpaskan sindiket jual dan beli bayi. Kes berkenaan sekali gus memperlihatkan kegiatan tidak bermoral itu masih terus berlaku di negara ini.

Namun, satu lagi isu berkaitan jenayah dan moral yang perlu ditangani ialah kes pembuangan bayi. Terbaru, seorang bayi lelaki ditemui mati di Sungai Kuantan, Pahang oleh seorang nelayan. Mayat bayi itu dipercayai masih baru dilahirkan ketika dibuang ke dalam sungai kerana tali pusatnya masih belum ditanggalkan ketika mayat dijumpai.

Barangkali wanita melahirkan bayi itu ingin menyembunyikan kewujudan bayi itu dengan menghumbannya ke dalam sungai. Perbuatannya secara tidak langsung ingin membunuh bayi untuk menutup keaibannya.

Sebelum ini, ada satu kes pada Mac tahun lalu membabitkan seorang bayi lelaki dijumpai masih hidup dalam sebuah tandas di sebuah masjid di Rompin. Bayi itu dijumpai seorang wanita ketika ingin menunaikan solat Maghrib. Bayi yang diletakkan di atas sinki, kelihatan sihat dan bersih. Namun, bayi ini bernasib baik kerana dibiarkan hidup dan ditinggalkan di tempat yang mulia, iaitu masjid. Mungkin wanita itu mengharapkan ada seseorang yang menjaga dan memeliharanya.

Gejala pembuangan bayi di negara menunjukkan peningkatan. Tiada petanda atau kayu ukur mengatakan gejala ini kian berkurangan. Ada ketikanya, bayi baru dilahirkan ditamatkan riwayatnya dengan cara hina seperti dibuang di sungai, tong sampah, mangkuk tandas dan sebagainya. Ada pula bernasib baik, bayi itu ditinggalkan di tempat selamat dan akan ada yang mengambilnya. Secara moralnya, kedua-dua perbuatan adalah terkutuk dan tidak bermoral.

Sebenarnya, gejala pembuangan bayi adalah cerminan daripada gaya hidup tidak sihat yang ditunjukkan sekelompok masyarakat hari ini, tanpa mengira kaum atau agama. Masyarakat kita sedang melalui satu fasa genting. Persoalan moral dan akhlak bukan lagi pertimbangan utama dalam setiap keputusan.
Oleh Mohd Hilmi Ramli
[Berita Harian Online, 28/05/2008]

1 comment:

indahcinta said...

Wak Juragan! Terimakasih dengan posting yang bertalu-talu. Memang kita kena perhebatkan kesedaran , pendidikan mengenai zina ni....dalam sehari kami menerima paling kurang tiga panggilan untuk mohon masuk ke DARWA...sungguh menyedihkan.!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...